Friday, April 8, 2011

Sokong tubuh Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjadi pemimpin pembangkang pertama menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video seks yang dikatakan membabitkan pelaku mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun persetujuan beliau bergantung kepada terma rujukan dan syarat selain keanggotaan suruhanjaya berkenaan.
“Secara prinsip saya boleh mempertimbangkan cadangan itu dengan syarat saya melihat dulu terma rujukan dan siapakah yang dilantik untuk menganggotainya. Jika suruhanjaya ditubuhkan, perlu dilihat tokoh berwibawa yang tidak mempunyai kepentingan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada pembangkang perlu menganggotai suruhanjaya berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata ia bergantung kepada terma dan rujukan. “Kita akan lihat terma dan rujukan terlebih dulu baru kita putuskan siapa yang patut menganggotainya (di kalangan pembangkang),” katanya yang mahu menunggu keputusan Kabinet hari ini mengenai penubuhan suruhanjaya itu sebelum boleh mengulas lanjut.

Beberapa hari lalu, parti pembangkang sepakat menolak cadangan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks yang dikaitkan dengan Anwar. Pengerusi DAP, Karpal Singh, dilaporkan berkata ia tidak diperlukan sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada siasatan polis yang sudah dimulakan.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks itu akan dikemukakan kepada Kabinet hari ini.

Beliau berkata, penubuhan perlu disegerakan berikutan penafian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang suaminya adalah lelaki dalam video berkenaan. Bagaimanapun, tidak seperti Salahuddin, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dengan tegas menolak penubuhan suruhanjaya dan yakin rakyat mampu menilai kebenaran selepas melihat Anwar sering menjadi sasaran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau menyifatkan penubuhan suruhanjaya tidak mampu menyelesaikan masalah. “Saya yakin individu yang dikaitkan dalam video itu bukan Anwar kerana beliau seorang pemimpin yang baik,” katanya

2 comments:

hitammanis said...

meluat nak baca......apa ke benda lar diorang ni tak de kerja lain agak nya? baik diorang gi buat video di kaw. setinggan, buat survey berapa ramai org melayu yg masih ketinggalan lagi baik kan?

fendy said...

harap ada keadilan yang kita dapat pasal ni. :)